Metafora Kuih

Thursday, April 1, 2010

Untuk lebih mudah difahami, mari kita lihat metafora ini. Katalah, melihat kuih.... Kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau kuih dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu apa nama kuih, warna dan rupabentuknya. Itu pandangan mata biasa.

Bagaimana pula jika kuih dipandang dengan pandangan akal? Ini adalah pandangan pakar-pakar pembuat kuih (samaada chef atau pakar masakan). Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah kuih itu seimbang dari segi bahan-bahannya, kemahiran mengadunnya, kemahiran menguli dan membakarnya?

Pakar-pakar masakan ini mempunyai ilmu yang cukup untuk mengkaji apakah kesilapan (jika ada) dan ketepatan pembuatan kuih tersebut. Inilah kelebihan pandangan akal berbanding pandangan biasa.

Lain pula keadaanya dengan orang yang memandang kuih itu dengan penuh pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung apakah bentuk, nama atau cara pembuatan kuih tersebut. Yang penting, makan dahulu. Hinggalah dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya kesedapan dan keseronokan.

Bagaimana pula melihat kuih itu dengan pandangan mata hati? Melihat dengan pandangan hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat pembuat kuih tersebut. Katakanlah, anda sedang berada di luar negara. Tiba musim Hari Raya, anda mendapat kiriman bungkusan dari kampung. Apabila bungkusan itu dibuka dan anda melihat kuih di dalamnya, dengan tidak semena-mena air mata anda mengalir. Apabila melihat sahaja kuih itu, hati anda sedih. Kenapa?

Ya, kerana anda melihat wajah ibu (pembuat kuih) di sebalik kuih itu. Anda terkenang kasih sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-galanya yang terbaik dari ibu anda. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti bukan sekadar dari tulang, daging, dan urat ibu kita tetapi kepada yang lebih bermakna iaitu budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan hati!

0 comments: