Kajian Pelajar PSIS Obses terhadap pakaian masa kini

Thursday, November 12, 2009

Mengikut hasil kajian pemerhatian aku dari semester ke semester, sebanyak 80% pelajar terpengaruh dengan mengikuti perkembangan fesyen dari semasa ke semasa. 10% pelajar hanya terpengaruh dengan rakan-rakan, 5% lagi pelajar hanya mengekalkan fesyen yang biasa-biasa manakala 5% lagi tidak mengikuti perkembangan fesyen terkini. Mengapa baru sekarang aku hendak paparkan artikel ini sedangkan perkara ini sudah berlarutan dan menjadi-jadi?

Yang sebenarnya, aku dan beberapa rakan aku yang lain sedang membuat beberapa kajian mengenai pemakaian pelajar di tempat pengajian aku baik lelaki (siswa) mahupun perempuan (siswi). Aku bukanlah hendak menjatuhkan maruah sebenarnya, cuma kita sama-sama lihat dan cuba memikirkan beberapa faktor yang rasional berkenaan fesyen zaman sekarang. Bila dibicarakan tentang soal pemakaian, terdapat beberapa suara-suara sumbang kedengaran contohnya:

“Ala. Kita kena ikut trend sekarang. Mana ada orang guna trend yang dulu ni.”

Macam-macam style ada. Ada yang ikut gaya artis, ada yang ikut gaya pengacara TV, dan banyak lagi lah. Sedangkan tidak sedar akan perhiasan diri (maruah) dipra-tonton pada tontonan umum yang lain terutama sekali lelaki. Dari situ sudah create zina mata. Subhanallah. Aku bukanlah hendak tunjuk alim, tetapi sedih sebenarnya melihat beberapa kaum Hawa yang terjerumus dalam kancah permasalahan sebegini. Sukar hendak ditafsirkan keperibadian seseorang tetapi dengan pakaian mahupun fesyen, kita sudah boleh kenal keperibadian seseorang itu yang bagaimana. Minta maaf kerana bahasa agak menyinggungkan tetapi inilah hakikatnya apa yang aku perhatikan selama ini.

Untuk makluman, kita sebenarnya termakan hasutan orang-orang barat. Mereka berjaya menawan kita dengan hanya mempromosikan pakaian yang selama ini kita terlepas pandang akan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Kita terpengaruh dengan budaya barat yang kini lupa akan budaya ketimuran. Aku pernah tegur dikalangan muslimat (perempuan) berkenaan dengan pakaian. Lebih-lebih lagi apabila kita hendak pergi ke Pusat Islam. Pada mulanya, ramai yang berpakaian yang menutupi tetapi dalam keadaan singkat, sendat, dan ketat. Aku tegur buat diri aku, dan aku sampaikan apa yang perlu sampaikan. Termasuk sekali apabila kita hendak pergi kemana sahaja tidak kira didalam tempat pengajian mahupun diluar tempat pengajian. Ada yang tergelak, ada yang “ALA…”, dan macam-macam lagi. Terpulang pada anda, anda mahukan pahala ataupun dosa. Fikir-fikirkanlah buat kebaikan dan keselamatan diri anda dan juga orang lain.



Pakaian itu ada hubungannya dengan ibadat seperti ibadat dalam sembahyang di mana diwajibkan menutup aurat. Sebenarnya pakaian itu sendiri adalah ibadat kerana ia termasuk dalam suruhan agama yang ada nilai pahala dan dosa, kerana itu orang Islam yang menutup auratnya ianya telah mematuhi dan mentaati tuntutan dan suruhan agamanya. Menutup aurat itu ada had dan ketentuan dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

Pakaian itu sebenarnya gambaran zahir keperibadian seseorang. Pengaruh pakaian dapat dilihat seperti, ahli perniagaan untuk mereka dapat mengaut keuntungan ialah dengan mempermodelkan atau menunjukkan fesyen pakaian yang akan diharapkan dapat menjadi tarikan atau pengaruh untuk dibeli oleh pengguna-pengguna.

Pengaruh pakaian ini amatlah jelas. Sebab itu pereka fesyen pakaian akan sentiasa merubah corak-corak fesyen pakaian itu dari masa ke semasa, khususnya pakaian perempuan. Tetapi sayang, fesyen pakaian perempuan hari ini banyak yang tidak memenuhi kehendak Islam.

Jika pakaian yang dipakai oleh perempuan-perempuan Islam itu tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam, maka ia menggambarkan sejauh mana kekukuhan aqidahnya. Pakaian itu mempunyai hubungkait dengan ketaqwaan. Firman Allah yang bermaksud “Dan pakaian taqwa adalah yang lebih baik.”(Surah Al-A‘râf: 26)

Pakaian mempunyai hubungan dengan ibadat, malah menjadi gambaran bagi aqidah dan akhlak pemakainya. Jika demikian halnya, pakaian perempuan Islam tidak boleh diabaikan. Dan tiada satu mazhab pun yang tidak mewajibkan menutup aurat atau mengharuskan pendedahannya, termasuk rambut, leher tengkok, dada dan betis sehingga ke tapak kaki perempuan di hadapan lelaki asing yang bukan mahramnya. Hukumnya jelas melalui sumber al-Qur’an dan hadis sebagaimana akan datang keterangannya. Di bawah ini disebutkan panduan atau garis pandu mengenai pakaian-pakaian perempuan Islam:


  • Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, dan betis dari anggota perempuan itu. Bahkan wajib menutup tapak kakinya melainkan di dalam keadaan darurat seperti banjir, atau keadaan lecak atau berlumpur atau seumpamanya. Tidak wajib ditutup muka dan dua tapak tangan dari hadapan belakang sehingga dua pergelanggan tangan sahaja yang boleh nampak. Ini adalah dalam keadaan biasa. Adapun dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah atau keadaan keganasan, maka wajib ditutup seluruh anggota tubuh badannya. Tidak menutup anggota badan adalah dilaknat oleh Allah Ta‘ala dan dosa besar yang wajib dielakkan.
  • Hendaklah pakaian itu tebal yang menutup seluruh tubuh badan perempuan supaya tiadak nampak warna kulit dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.
  • Hendaklah pakaian perempuan itu luas, lebar tidak sempit dan tidak ketat yang boleh menampakkan segi-segi susuk badan perempuan. Pakaian yang ketat itu ialah seperti menampakkan susuk buah dada dan punggung dan lain-lain segi anggota yang mendatangkan fitnah atau keinginan syahwat.
  • Jangan pakaian itu menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, kerana adalah haram dan dosa besar perempuan memakai pakaian yang serupa dan seakan-akan dengan lelaki.
  • Jangan pakaian itu wangi atau harum, kerana wangi atau harum itu membawa fitnah dan kerosakan yang boleh membangkitkan nafsu dan perhatian orang dan kejahatan yang wajib dihindarkan oleh perempuan-perempuan. Memakai pakaian yang berwangi atau harum itu adalah dosa besar sekalipun dibenarkan oleh suami.
  • Jangan pakaian itu berhias, kerana pakaian yang berhias itu menarik pandangan orang dan membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandang itu. Orang-orang Bani Isra’il Yahudi telah dilaknat oleh Allah Ta‘ala kerana mereka membiarkan perempuan-perempuan mereka keluar rumah, ke masjid, ke pasar dan ke kedai-kedai dengan berhias dan bergaya.
  • Jangan pakaian itu bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kerana itu perbuatan takabbur dan ‘ujub yakni merasa tinggi diri, Ia adalah dosa besar.

Firman Allah Ta‘ala:

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah Al-Nûr: 31)

Oleh itu, aku nasihatkan buat diri aku sendiri dan juga anda yang membacanya, marilah kita bersama-sama muhasabah akan diri kita moga-moga Allah memberi petunjuk pada diri kita untuk dunia dan akhirat. Sekiranya kita telah melihat sesuatu kemungkaran dihadapan mata kita, maka kita perlu mengubahnya dengan tangan. Sekiranya tidak mampu, maka kita lakukan dengan cara lisan. Sekiranya tidak mampu juga, maka dengan hatilah caranya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.

Waallahu'alam..

0 comments: