Iman, Ihsan, Taqwa

Sunday, September 13, 2009

Assalammualaikum dan salam sejahtera..

Alhamdulillah kita sudahpun berada dipenghujung Ramadhan, dan juga malam yang kita perlu kejar sekarang ini iaitu Malam Lailatul Qadr. Malam semalam (13/09/2009) Fid dan beberapa rakan yang lain menyertai satu majlis ilmu selepas solat sunat Terawih. Pada malam itu Ustaz Amir bin Berau yang menyampaikan ceramah. Lama juga tidak jumpa Ustaz Amir ni. Gayanya dan penyampaiannya memang menarik perhatian Fid. Amat rugilah pada sesiapa yang tidak sertai majlis ilmu pada malam itu. Apa yang beliau sampaikan cukup banyak sebenarnya. Antara yang Fid tertarik adalah apabila manusia ada Iman, Ihsan, dan Taqwa pasti tiada masalah. Serba sedikit yang Fid ingin kongsi dengan anda semua berkenaan 3 perkara yang Fid sebutkan tadi.



Iman

Erti Iman (الإيمان) secara harafiah dalam Islam adalah bererti percaya kepada Allah. Dengan itu orang yang beriman adalah ditakrifkan sebagai orang yang percaya (mukmin). Siapa yang percaya maka dia dikatakan beriman. Perkataan Iman (إيمان) diambil dari kata kerja 'aamana' (أمن) -- yukminu' (يوءمن) yang bererti 'percaya' atau 'membenarkan'. Perkataan Iman yang bererti 'membenarkan' itu disebutkan dalam al-Quran, di antaranya dalam Surah At-Taubah ayat 62 yang bermaksud:

"Dia (Muhammad) itu membenarkan (mempercayai) kepada Allah dan membenarkan kepada para orang yang beriman."

Takrif Iman menurut istilah syariat Islam ialah seperti diucapkan oleh Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud:

"Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota."

Aisyah r.a. pula berkata:

"Iman kepada Allah itu mengakui dengan lisan dan membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan anggota."


Imam al-Ghazali menghuraikan makna Iman adalah:

"Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."

Iman ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan satu sahaja dari yang tiga itu, sudah lainlah nama yang Islam berikan pada seseorang itu, iaitu fasik, munafik atau kafir.


Ihsan

Ihsan itu ialah bahawa "kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." (Pengertian berdasarkan hadith riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab). Yakni, mengabdikan diri kepada Allah hendaklah dengan perasaan seolah-olah anda melihat-Nya dan jika anda tiada perasaan melihat kepada-Nya, maka hendaklah anda merasa bahawa Allah melihatmu.

Maksudnya: ikhlas dalam beribadah atau ikhlas melaksanakan Islam dan Iman.


Taqwa

Taqwa (bahasa Arab: التقوى‎, at-taqwá) ialah memelihara hubungan yang baik dengan Allah, memelihara diri jangan sampai terperusuk kepada perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T., memelihara segala perintahnya supaya dapat dilakukan dan memelihara segala larangannya supaya dapat dijauhi.

Taqwa boleh dibahagikan kepada tiga peringkat:

1. Taqwa Awami: taqwa kebanyakan orang yang masih dipengaruhi oleh runtunan syahwat, masih terpukau oleh godaan dunia dan berhadapan dengan tipu daya syaitan. Namun mereka berjuang menentang unsur-unsur negatif yang tersebut dengan semangat taqwa.

2. Taqwa Khowasi: taqwa yang lebih tinggi kualitinya daripada Taqwa Awami kerana orang yang bertaqwa pada tahap ini telah dapat melaksanakan diri daripada belenggu nafsu amarah, dorongan untuk melakukan maksiat dapat dihindari dan maksiat-maksiat zahir seperti maksiat mata dan lidah dapat dijauhi.

3. Taqwa Khowasu Khowasi: tahap taqwa yang tertinggi. Orang yang berada pada taqwa tahap ini telah terlepas daripada lingkaran maksiat zahir dan maksiat batin, bebas pengaruh nafsu amarah dan nafsu lauwwamah. Mereka telah mencapai ke tahap nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang).


Coretan ringkas dari Fid:

Oleh itu saudara dan saudari, ketiga-tiga aspek ini amat memainkan peranan yang penting didalam kehidupan kita sebagai umat Islam di mukabumi ini. Tanpa ada ketiga-tiga aspek ini, sukar bagi kita hendak menggambarkan situasi bagaimanakah perkara ini akan berlaku di masa akan datang. Jika kita ada Ihsan dan Taqwa tetapi Iman kita kurang, maka kita berazam untuk meningkat tahap ketaqwaan didalam diri kita terhadap Allah s.w.t. Begitu juga sebaliknya. Jadi, disaat-saat Ramadhan meninggalkan kita untuk tahun 1430H, sama-samalah kita bangkit dan memperbaiki segala kelemahan yang kita ada didalam bulan Ramadhan ini. Moga-moga Ramadhan kali ini dapat mengubah perilaku dan sikap kita di masa akan datang insyaAllah.

0 comments: